Teks Ucapan TPM Sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru
Kali Ke-42
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN DAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-42
PADA 16 MEI 2013; PUKUL 8.30 MALAM
BERTEMPAT DI STADIUM TERTUTUP NILAI, NEGERI SEMBILAN
TEMA: “GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA”
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan,
Menteri Besar Negeri Sembilan;
Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh
Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II
Yang Berhormat Datuk Marry Yap
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I
Yang Berhormat P. Kamalanathan
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II
Yang Berbahagia Dato' Dr. Rosli bin Mohamed,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Puan Hajah Kalsom binti Khalid, Pengarah Jabatan Pelajaran
Negeri Sembilan
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia,
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian
Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan,
Puan-puan dan para pendidik yang saya hormati sekalian.
PENDAHULUAN
1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan berkat izin dan
limpah kurnia-Nya, dapat kita berhimpun pada malam ini untuk sama-sama meraikan
para guru dan seluruh warga Kementerian Pelajaran Malaysia sempena sambutan
Hari Guru 2013. Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan
ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Dato’ Seri Utama Haji
Mohamad bin Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus atas
kesudian menjadi tuan rumah dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan
program sambutan Hari Guru pada tahun ini.
2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan atas
kejayaan memimpin Barisan Nasional memenangi negeri ini dalam pilihanraya umum
yang baru lalu. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Seri
Idris Jusoh, Yang Berhormat P Kamalanathan dan Yang Berhormat Mary Yap atas
pelantikan sebagai Menteri II dan Timbalan-Timbalan Menteri di Kementerian
Pelajaran dan Pengajian Tinggi. Saya berharap agar dengan pelantikan Yang
Berhormat sekalian di Kementerian kita ini akan dapat membantu saya
melaksanakan tugas yang lebih mencabar selaku Menteri yang bertanggungjawab
terhadap bidang pendidikan dari peringkat pra-sekolah hingga ke tahap pengajian
tinggi. InsyaAllah dengan kerjasama yang erat antara anggota pentadbiran yang
baru dilantik oleh YAB Perdana Menteri dan seluruh warga Kementerian Pelajaran
dan Pengajian Tinggi yang digabungkan, kita akan dapat bersama-sama
melaksanakan amanah memacu kecemerlangan pendidikan di negara kita dengan
sebaik mungkin.
3. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah sekali lagi memberikan kepercayaan
kepada saya untuk memimpin Kementerian Pelajaran yang amat penting kepada
perpaduan rakyat dan kemajuan negara kita. Keputusan YAB Perdana Menteri untuk
menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah
satu bumbung dengan pelantikan seorang Menteri Kedua adalah satu keputusan
tepat yang melambangkan keprihatihan kepimpinan beliau untuk melihat bidang
pendidikan di negara kita dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara
lebih berkesan kepada kemajuan negara. InsyaAllah, dengan penggabungan
kedua-dua Kementerian ini kita akan dapat melaksanakan dasar-dasar yang lebih
seragam di semua peringkat pendidikan di samping berkongsi sumber dan kepakaran
di sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk melonjakkan lagi mutu
pendidikan di negara kita. Usaha-usaha transformasi pendidikan akan dapat
dilaksanakan dengan lebih efisyen apabila kepakaran daripada semua peringkat
pendidikan dapat digembeng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan
berganda dalam pendidikan negara.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
4. Tarikh 16 Mei merupakan hari yang begitu istimewa buat setiap insan bergelar
guru. Hari ini memberi peluang kepada kita semua untuk menyatakan penghargaan
dan penghormatan terhadap jasa bakti guru kita di seluruh negara. Tidak kira
samada anda adalah guru yang bertugas di tadika, di sekolah, di kolej atau di
universiti, anda semua adalah insan istimewa yang telah membimbing anak bangsa
sehingga mereka menjadi warganegara yang berjaya. Justeru, sempena tarikh
keramat ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi
penghargaan kepada semua guru tidak kira walau di mana anda berada di seluruh
pelusuk negara.
5. Sebagai Menteri Pelajaran saya menyeru para guru yang dikasihi untuk terus
berjihad dan bertekad bersama-sama kerajaan Barisan Nasional yang telah sekali
lagi diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui negara bagi menerus dan
mempergiatkan usaha mendidik generasi muda menjadi insan dan warganegara yang
berguna. Kerajaan sentiasa menghargai peranan para guru dalam membina modal
insan, memelihara perpaduan kaum dan berbakti kepada negara.
6. Tidak dapat kita nafikan, kesejahteraan dan kehidupan selesa yang kita
nikmati pada hari ini adalah hasil sumbangan dan berkat kegigihan serta
pengorbanan guru dalam bidang pendidikan. Matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dan holistik tidak akan tercapai
tanpa peranan besar yang dimainkan oleh para guru. Segala dasar dan pelan
pendidikan yang terbaik tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen dan dedikasi
para guru. Segala cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh generasi masa kini
memerlukan bimbingan para guru. Bahkan, tugas guru pada alaf ini menjadi
semakin penting kerana bidang pendidikan merupakan penentu kejayaan sesebuah
negara. Cabaran besar untuk mendidik murid agar menghargai nilai keinsanan,
menghormati perbezaan adat dan budaya serta memperkukuh perpaduan dan jati diri
memerlukan guru yang bukan hanya mahir mengajar tetapi juga bijak membimbing.
7. Lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, peranan guru
membina sebuah masyarakat yang harmonis dan bersatu padu menjadi semakin
mencabar. Walaupun negara kita telah merdeka lebih 56 tahun dan masyarakat
pelbagai kaum dapat hidup secara bersama dalam suasana yang aman dan harmoni,
tugas untuk memelihara perpaduan kaum adalah satu tanggungjawab yang perlu
dilaksanakan secara berterusan. Kita tidak boleh lalai dan leka kerana
kecenderungan ke arah polarisasi kaum sentiasa wujud dan jika tidak dibendung
ia akan memberikan kesan yang amat buruk terhadap keharmonian masyarakat dan
kestabilan negara.
8. Oleh sebab itu, antara peranan utama pendidikan sepertimana yang termaktub
dalam Dasar Pendidikan di negara kita ialah untuk membina sebuah masyarakat
yang bersatu padu menerusi satu sistem pendidikan kebangsaan. Kewujudan
sekolah-sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
pengantar utama adalah wahana penting untuk membolehkan murid pelbagai kaum
mengikuti pendidikan menggunakan kurikulum yang sama, bertutur dalam bahasa
yang sama dan bergaul sesama mereka dalam suasana yang penuh mesra dan akrab.
9. Dalam konteks ini, pendidikan merupakan wahana penting pembinaan sebuah
negara bangsa yang bersatu padu. Sekolah-sekolah kebangsaan merupakan wahana
pemersatu yang mempunyai peranan penting untuk menyatukan semua kaum di negara
kita. Kita perlu sentiasa memikirkan bagaimana institusi pendidikan di
peringkat sekolah dan universiti dapat membina perpaduan yang lebih jitu dalam
kalangan rakyat. Setiap institusi pendidikan di negara kita perlu mewujudkan
suasana yang kondusif untuk membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum dan
agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra dan akrab. Kita perlu runtuhkan
tembok prejudis yang tebal dengan menggalakkan interaksi yang harmonis antara
murid pelbagai kaum. Pada masa yang sama, kita mesti meneruskan usaha
memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan dan memartabatkan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan rakyat.
10. Menerusi sistem pendidikan kebangsaan, kita mesti lahirkan warga negara
yang patriotik dan berakhlak mulia, yang memahami sejarah asal usul negara
bangsa, yang mengormati perlembagaan dan undang-undang negara, yang menjunjung
sistem demokrasi berperlembagaan, dan menghayati semangat serta prinsip
rukunegara. Pendidikan di negara kita bukanlah semata-mata alat untuk
melahirkan modal insan yang berjaya memacu kemajuan negara, tetapi juga
melahirkan insan mulia dalam sebuah masyarakat majmuk yang menghayati sejarah,
menghormati perbezaan agama, adat dan budaya serta menghargai nilai-nilai
kemanusiaan sejagat.
11. Tugas penting ini tergalas di bahu para guru. Mudah-mudahan jasa dan bakti
guru yang dicurahkan pada hari ini akan menentukan rupa wajah masa depan negara
kita yang lebih bersatu-padu.
GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
12. Pada tahun ini, kita memilih “GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA” sebagai tema
Hari Guru. Pada hemat saya, tema ini amat bertepatan dengan hasrat Kementerian
untuk mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah kita lancarkan. Tema ini
merupakan cerminan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa hadapan yang
lebih cemerlang di negara kita. Seluruh warga pendidik wajar memahami hasrat
dan kehendak dalam PPPM dengan berusaha memberikan pendidikan berkualiti
menjangkau ke seluruh lapisan kanak-kanak sesuai dengan prinsip pendidikan
untuk semua tanpa membezakan kaum, status sosial, taraf ekonomi, dan agama.
13. Kementerian Pelajaran telah merangka pelan pembangunan yang komprehensif
untuk mencapai matlamat PPPM. 100 inisiatif utama telah dibentuk bagi
pelaksanaan PPPM 2013-2025 yang merangkumkan dasar-dasar utama kerajaan
termasuk Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan
Malaysia Ke-10. Saya juga amat bersyukur kerana sasaran enam inisiatif untuk
100 hari gelombang pertama PPPM telah pun berjaya dicapai.
KEJAYAAN 100 HARI PERTAMA PPPM
14. Antaranya, 61,000 orang guru Bahasa Inggeris telah diuji melalui Cambridge
Placement Test (CPT) bagi mengenal pasti tahap profisiensi guru dalam bahasa
Inggeris. Berdasarkan analisis keputusan CPT yang telah dilaksanakan, kohort
pertama yang terdiri daripada 5,000 guru telah memulakan latihan bagi
meningkatkan lagi tahap profisiensi mereka. Seterusnya, program latihan
Professional English Language Teaching (Pro-ELT) dilaksanakan secara berfasa
melibatkan guru-guru Bahasa Inggeris yang berkenaan.
15. Kementerian berharap agar guru yang mengikuti program latihan secara
tersusun dan sistematik akan dapat melaksanakan proses pembelajaran dan
pengajaran bahasa Inggeris di sekolah dengan lebih berkesan. Seterusnya, sudah
pasti murid akan beroleh manfaat dan mampu bersaing di persada antarabangsa
apabila mereka lebih fasih serta yakin untuk berbahasa Inggeris.
16. Peningkatan kualiti guru juga dilaksanakan dengan mewujudkan 339 Rakan
Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan 1,278 Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah
(SISC+) yang ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh negara
menjelang 2014. SiPartners+ dan SISC+ diwujudkan untuk mengiktiraf kepakaran
guru melalui Program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah. Pembimbing guru dan
kepimpinan sekolah yang dirintis di Kedah dan Sabah telah berjaya membantu
meningkatkan kesedaran guru kepada amalan pengajaran yang lebih efisyen di
samping pengurusan sekolah yang lebih cekap. Melalui transformasi PPD, saya
yakin guru mendapat sokongan yang terbaik sehingga dapat meningkatkan kualiti
sekolah dengan pengurangan sebanyak 50 peratus sekolah dalam band 6 dan 7 di
negeri Sabah dan Kedah. InsyaAllah, menjelang tahun 2015 kita akan berjaya
mencapai sasaran sifar bagi kedua-dua band tersebut.
17. Dengan kejayaan mencapai matlamat inisiatif 100 hari pelaksanaan PPPM, saya
suka mengingatkan agar kita semua janganlah lalai dan leka. Usaha yang
berterusan perlu digiatkan bagi memastikan anak didik kita menguasai kemahiran,
pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang berkualiti. Justeru, usaha bagi
merealisasikan kesemua 19 inisiatif PPPM perlu kita laksanakan sedaya upaya
dengan penuh komitmen agar menjelang 2015 segala perancangan strategik berjaya
dilaksanakan sepenuhnya. Saya amat mengharapkan jasa baik dan bantuan guru-guru
untuk berganding bahu bersama-sama saya menjayakan inisiatif PPPM yang telah
kita usahakan.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
PERANAN GURU DALAM PPPM
18. Dalam melaksanakan hasrat PPPM, para guru berperanan untuk melonjakkan
kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia. Untuk itu, para guru perlu
memiliki satu wawasan unggul untuk mentransformasi pelbagai aspek pendidikan,
berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi. Bagi menyahut hasrat ini, para
guru perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan keberhasilan sekolah dan
kemenjadian murid. Saya akur, guru selama ini memang telah berakauntabiliti
dalam meningkatkan pencapaian murid dan kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti
terhadap keberhasilan operasi sekolah masing-masing perlu terus dipertingkatkan
kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini persaingan menjadi semakin sengit.
Kebolehan kita untuk berjaya bergantung pada kelebihan daya saing kita yang
ditentukan oleh kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada aras tinggi. Oleh
itu, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) meliputi pemikiran kritikal,
keupayaan berkomunikasi, kemampuan penerokaan persekitaran serta keyakinan
kendiri perlu sentiasa dijana menerusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran
yang holistik.
19. Bagi menilai keberkesanan KBAT, sebanyak 30 peratus soalan dalam
peperiksaan pusat seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM/STAM menjurus kepada elemen
KBAT. Dalam kalangan murid juga, KBAT dinilai melalui peperiksaan antarabangsa
seperti TIMSS dan PISA sesuai dengan hasrat Kementerian untuk melahirkan murid
yang mampu bersaing di peringkat global. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
yang telah dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini diharap dapat mengesan
kelebihan atau kegagalan penguasaan murid dari peringkat awal. Melalui PBS,
saya yakin guru dapat mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi murid dan
menggalakkan perekaciptaan dalam kalangan mereka.
20. Pendeta Za’aba pernah menegaskan bahawa ilmu pengetahuan adalah asas
terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran. Justeru,
pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa dimantapkan agar kita kekal
relevan dalam persaingan menuju negara maju. Oleh sebab itu, guru-guru juga
harus berani meneroka pelbagai cabang ilmu untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik
pengajaran yang berkesan. Warga guru wajar mencontohi Cikgu Zainuddin Zakaria
dari SMK Taman Bukit Maluri Kepong yang telah memenangi tempat pertama dalam
kategori “Educator’s Choice” semasa persidangan ‘Microsoft 8th Partners in
Learning Asia and Pacific Forum’ di New Zealand menerusi hasil penciptaan
beliau yang menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan
pembelajaran
LATIHAN DAN LALUAN KERJAYA GURU
21. Pemerkasaan guru melalui latihan yang berterusan amat penting bagi menghasilkan
tenaga kerja mahir. Modal insan minda kelas pertama dipertaruhkan untuk memacu
pembangunan negara dalam merealisasikan Wawasan 2020. Oleh itu, amatlah wajar
aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian. Pelan induk Pembangunan
Profesionalisme Berterusan (CPD) baharu dan pangkalan data pengesanan CPD bagi
memantap dan mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan. CPD dapat
membangunkan kapasiti dan mengukuhkan nilai profesional untuk meningkatkan
kualiti diri dan kompetensi dalam profesion seiring dengan aspirasi negara.
Peningkatan keupayaan dan kompetensi guru termasuk pemimpin sekolah diberi
keutamaan bagi menjamin keberhasilan pencapaian murid. Dalam usaha memastikan
guru berpeluang untuk mendapatkan latihan yang cukup, Latihan Berasaskan
Sekolah perlu dirancang dan dilaksanakan di setiap sekolah.
22. Kerajaan amat berterima kasih atas usaha dan ketekunan guru meningkatkan
kualiti pendidikan. Demi memartabatkan profesion keguruan, kerajaan telah
menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf para guru. Melalui
PPPM 2013-2025, pelan untuk menaik taraf profesion keguruan akan dirangka
supaya 420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi. Laluan
kerjaya yang terbaik akan disediakan untuk guru. Namun guru-guru hendaklah
berada di tahap prestasi cemerlang dalam Penilaian Instrumen Bersepadu dan
melengkapkan diri melalui CPD yang bersesuaian sebelum dipertimbang dan
diperakukan untuk kenaikan pangkat. Walau bagaimanapun, untuk memastikan
pendidikan negara terus berkualiti, guru berprestasi rendah akan melalui CPD
yang sistematik dan berstruktur atau sesi kaunseling mengikut keperluan. Bagi
guru-guru yang masih lagi tidak menunjukkan sebarang peningkatan atau perubahan
walaupun telah melalui CPD berkenaan akan melalui proses penempatan semula
mengikut kesesuaian.
23. Guru-guru yang baru dilantik atau novis juga perlu bersedia dengan
pengetahuan dan kemahiran supaya dapat mengharungi perubahan persekitaran yang
dinamik. Guru perlu mengajar murid untuk mempraktikkan ilmu dan mengaplikasikan
serta mencetuskan idea baharu. Bagi menghasilkan modal insan yang setanding
dengan aras antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap ‘kategori tiga teratas’
dalam sistem pendidikan terbaik dunia, maka profesion keguruan perlu ditransformasikan.
Selaras dengan PPPM 2013-2025, Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu membawa
perubahan melalui penggunaan prinsip Strategi Lautan Biru dengan mencipta
pasaran atau produk yang belum ada saingan, menjadikan saingan tidak relevan,
fokus kepada bukan pelanggan sedia ada dan mencipta serta meneroka permintaan
baharu. Dengan perkataan lain, IPG perlu mengorak langkah memperluaskan pasaran
latihan perguruan ke luar negara dan secara tidak langsung melebarkan
kebolehpasaran graduan IPG sendiri. Sudah sampai masanya IPG menghasilkan
kurikulum pendidikan guru bertaraf antarabangsa supaya latihan perguruan dapat
diperluaskan dengan menawarkan latihan perguruan kepada negara dunia ketiga.
24. Sesungguhnya guru juga akan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai
bagi memastikan kualiti kerja meningkat. Sesungguhnya guru juga akan menikmati
persekitaran kerja yang lebih sesuai bagi memastikan kualiti kerja meningkat.
Melalui PPPM 2013-2025, guru akan didedahkan dengan budaya kerjasama dan
kecemerlangan profesional. Mereka perlu saling bekerjasama dalam menangani isu
dan berkongsi amalan terbaik. Dengan itu, guru akan mempunyai keluwesan
pedagogi yang lebih besar di dalam bilik darjah bagi meningkatkan keberkesanan
pembelajaran murid. Untuk memastikan guru lebih fokus terhadap pengajaran dan
pembelajaran dan murid mendapat faedah semaksimum mungkin, maka kita sedang
menjalankan kajian rintis di Melaka bagi menempatkan pembantu tadbir N17 di
sekolah bagi menguruskan tugas perkeranian guru data, perpustakaan dan media.
Guru data dan guru media akan melepaskan tugas berkenaan secara beransur-ansur
untuk memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran secara sepenuh masa.
Dapatan awal kajian rintis menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sekiranya
kajian rintis ini berjaya, maka insyaAllah kita akan memperluaskan khidmat
sokongan pembantu tadbir N17 ini ke semua sekolah secara
berperingkat-peringkat. Kita yakin, masa mengajar guru yang berkualiti adalah
sangat berharga dalam meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhannya.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
TRANSFORMASI KURIKULUM
25. Kita sedar bahawa penghayatan nilai-nilai rohani adalah satu tonggak utama
dalam pendidikan. Sementara kita ghairah mengejar kemajuan duniawi, pembentukan
insan yang beriman dan bersahsiah mulia jangan kita abaikan. Saya amat
bersyukur dalam PPPM 2013-2025, aspek kerohanian juga ditekankan bagi menjana
modal insan berakhlak mulia. Pembentukan murid dengan nilai-nilai murni
berasaskan ajaran agama amat penting bagi memastikan negara memperoleh generasi
pemimpin masa hadapan yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti. Justeru,
Transformasi Kurikulum Pendidikan Islam digubal dengan mewujudkan Kurikulum
Dini dan Kurikulum Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan yang akan dilaksanakan
secara berperingkat-peringkat bermula dengan Tingkatan Enam Dini pada tahun
2014 dan Tingkatan 1 pada tahun 2015. Pendaftaran Sekolah Agama Negeri dan
Sekolah Agama Rakyat sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan jelas membuktikan
bahawa KPM komited untuk mengangkat martabat pendidikan Islam di negara ini. Di
samping itu, KPM turut mengambil perhatian terhadap penerapan nilai-nilai murni
menerusi pelaksanaan kurikulum Pendidikan Moral.
26. Selain itu, kemahiran vokasional dan perekaciptaan dalam kalangan murid
diperluaskan dalam Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional. Pelan tansformasi
ini telah dilancarkan merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta
sebelas tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja murid dan melonjakkan
kualiti pendidikan vokasional setaraf dengan negara maju. Sesungguhnya,
transformasi vokasional telah menunjukkan kejayaan apabila KPM menerima
permohonan memberangsangkan dengan 110,000 pemohon untuk mengikuti kursus di
Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik. Buat masa ini kita dapat
menampung 23,000 orang pelajar bagi program aliran vokasional, kemahiran dan
teknikal. Usaha sedang dibuat untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi
memenuhi permintaan yang tinggi dalam aliran ini.
27. Bagi meningkatkan kualiti pendidikan vokasional, jalinan kerjasama dengan
Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta telah dilaksanakan. Jalinan
kerjasama ini memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan pelajar sebelum
menempuh alam pekerjaan sebenar. Penglibatan dalam perkongsian ini akan
membolehkan KPM memperoleh teknologi serta kepakaran, selain mengelak
berlakunya masalah ketidaksepadanan antara latihan kemahiran yang disediakan
dan bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak industri.
KEJAYAAN GURU DARI ASPEK LATIHAN DALAM BIDANG SUKAN
28. Pada hari ini, kita dapat membuktikan landasan yang dibina oleh KPM dari
peringkat akar umbi telah menghasilkan atlet murid yang cemerlang dan
berpotensi tinggi bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat
antarabangsa. Banyak kejayaan yang telah diraih oleh atlet kita di temasya
sukan di dalam dan luar negara. Sebagai contoh, di Kejohanan Balapan dan Padang
MSSM 2012, sebanyak 10 rekod baru dicipta. Begitu juga dalam Kejohanan Renang
MSSM 2013, sebanyak 12 rekod baru dicipta. Perenang muda seperti Welson Sim
dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Yap Siew Hui dari SMK Khatolik Petaling Jaya
bakal mewakili negara pada masa terdekat. Ini jelas menunjukkan peningkatan
prestasi atlet kita bermula di peringkat kebangsaan. Di persada antarabangsa
pula, atlet murid kita juga telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam
Kejohanan ASEAN Schools Games 2012. Saya begitu bangga kerana Malaysia menjadi
johan dalam sukan balapan dan padang.
29. Atlet kita juga cemerlang dalam kejohanan badminton Sekolah-Sekolah Asia
apabila pasukan negara muncul sebagai juara di rantau Asia. Di kejohanan
bolasepak Sekolah-Sekolah Asia Bawah 15 Tahun, kontinjen negara telah diumumkan
sebagai naib johan. Di samping itu, terdapat juga atlet murid dari Sekolah
Sukan Bukit Jalil mewakili remaja negara dalam sukan skuasy seperti Ng Eain Yow
yang telah menjuarai kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British. Begitu juga
dengan atlet murid sukan renang dan menembak yang telah menyinar dalam
Australian Youth Olympic Festival dengan meraih pingat emas. Atlet murid
perempuan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil kita pula cemerlang dalam kejohanan
bola jaring ‘Tri-Nations’ di Hong Kong dengan menjuarai kejohanan tersebut.
Atlet murid ini bakal mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. KPM
sentiasa menghargai jasa guru dalam mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri
serta negara dengan usaha gigih dan mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang
sukan selama ini.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
30. Seperti yang saya sebutkan di awal ucapan, kelestarian, kemajuan dan
kemakmuran negara juga terletak pada keupayaan guru untuk memupuk perpaduan dan
keharmonian kaum yang berkekalan. Bagi meningkatkan lagi penghayatan murid
pelbagai kaum terhadap nilai patriotisme, guru perlu melaksanakan pelbagai
program yang menjurus ke arah penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara. Usaha
memperkenalkan dan mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan murid
merupakan satu langkah yang baik untuk mewujudkan integrasi nasional di semua
jenis sekolah. Di samping itu, sukalah saya mengingatkan guru-guru agar menjadi
suri teladan dan contoh yang baik kepada murid dalam usaha menghayati
nilai-nilai murni serta nilai patriotisme itu sendiri. Dalam konteks ini, guru
juga harus sentiasa menyuntik rasa bersyukur dan berterima kasih dalam sanubari
murid atas kemakmuran dan kestabilan negara yang sedang kita nikmati hingga ke
hari ini.
31. Saya juga berasa teruja untuk mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan
keberanian guru-guru kita di Lahad Datu. Saya ucapkan terima kasih terutama
kepada Cikgu Saabi binti Hasin dari SK Lok Buani Lahad datu yang menjadikan
rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak-anak murid belajar dan membiayai
pula perbelanjaan makan minum mereka. Selain itu, saya juga mengucapkan terima
kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang
sanggup berada di kawasan pertempuran dan mengajar murid-murid dari sekolah
yang berlainan. Inilah antara contoh guru yang kita sanjung tinggi. Saya berharap
tiada lagi guru yang mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi yang boleh
menjatuhkan maruah dan kredibiliti guru yang sememangnya disanjung tinggi oleh
masyarakat kerana sanggup berbakti tanpa mengira suasana, masa dan tempat.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada guru-guru yang sanggup berkorban dalam
apa jua keadaan demi mendidik anak bangsa.
32. Setimpal dengan jasa dan pengorbanan guru yang tidak terhingga, kerajaan
menyediakan Anugerah Tokoh Guru pada setiap tahun bertujuan untuk mengenang jasa
dan bakti guru yang telah bersara, namun tetapi masih aktif berbakti kepada
negara. Pada tahun ini, kita memperkenalkan Anugerah Ikon Guru bagi mengiktiraf
jasa guru yang masih berkhidmat dan telah mengharumkan nama Malaysia di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada
semua bakal para penerima anugerah.
33. Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Hari Guru dan terima kasih cikgu.
Marilah kita bersama-sama menjayakan transformasi pendidikan bagi memenuhi
hasrat dan aspirasi negara kita untuk menjadi sebuah negara maju. Seiring
dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu “1 Agenda, 1 Aspirasi”, saya mengajak
warga guru sekalian untuk bekerja bersama-sama saya bagi memastikan pendidikan
di negara kita menjadi antara yang terunggul dan terbaik di dunia. Kepada Allah
kita berserah dan kepadaNya jua kita memohon pertolongan.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan
Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42 tahun 2013.
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment